Khamis, 3 Ogos 2017 | 12:09pm
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Mula-mula mengaku, kemudian tukar pengakuan

JOHOR BAHRU: Seorang bapa yang sebelum ini mengaku bersalah atas lima pertuduhan liwat dan seks luar tabii ke atas dua anak tiri lelakinya berusia tujuh dan 11 tahun, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh yang berusia 24 tahun itu menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca semula jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Lelaki itu yang bekerja sebagai penjaga kolam udang didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi di Mersing antara April tahun lalu hingga bulan lalu.

Bagi empat pertuduhan pertama, dia didakwa meliwat mangsa berusia 11 tahun, manakala bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa kedua berusia tujuh tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 (C) dan 377 (C) (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 24 Julai lalu, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim sebelum mahkamah menetapkan hari ini untuk pertuduhan semula dan menjatuhkan hukuman, namun tertuduh menukar pengakuannya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadzli Mohd Ramly.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh berhubung dengan mangsa selain perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Hakim menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes.

3436 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »