Jumaat, 21 Julai 2017 | 2:06am
AQMAL Khaleq Firman Hasani yang disedari tidak berada dalam kelas sejak jam 2 petang Khamis.

Aqmal Khaleq dicari keluarga

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak pelajar pusat tahfiz berusia 11 tahun disedari hilang sejak petang Khamis menyebabkan ibu bapanya bimbangkan keselamatannya.

Aqmal Khaleq Firman Hasani disedari tidak berada dalam kelasnya di Pusat Tahfiz Al Aziziah, Taman Keramat, di sini jam 2 petang Khamis oleh gurunya yang kemudian memaklumkan kepada keluarga.

Ibu kanak-kanak itu, Nor Laily Zakaria, 37, berkata selepas dimaklumkan oleh pihak sekolah, beliau keluar mencari anak sulungnya itu, namun sehingga tengah malam tadi belum menjumpainya.

Aqmal Khaleq dipercayai berada bersama seorang rakannya yang berusia 13 tahun.

"Kehilangannya disedari seorang ustaz ketika hendak memulakan kelas apabila mereka berdua tidak berada di dalam bilik darjah.

"Sebaik dimaklumkan perkara itu oleh pihak pengurusan pusat tahfiz, kami terus cuba mencari di kawasan sekitar.

"Namun sehingga jam 12 tengah malam tadi, mereka berdua masih belum ditemui walaupun usaha mencari diluaskan sehingga ke Cheras," katanya ketika dihubungi BH malam tadi.

Katanya, selain melakukan usaha pencarian, ada ahli keluarga turut mengambil inisiatif membuat hebahan perkara itu di media sosial untuk orang ramai menyalurkan maklumat.

"Saya percaya mereka hanya menghilangkan diri dan merayu supaya mereka pulang semula ke rumah," kata Nor Laily.

Nor Laily meminta orang ramai yang ada maklumat supaya menghubunginya di talian 010-221 2342 atau suaminya, Firman Hasani Selamat, 012-326 2629.

Katanya keluarga belum membuat laporan polis memandangkan tempoh kehilangan anaknya belum sampai 24 jam.

2760 dibaca
Berita Harian X