Khamis, 13 Julai 2017 | 11:40pm

Tun M rancang jatuhkan Najib sejak 2014: Mukhriz


TENGKU Sharifuddin (kiri) bersama Mukhriz pada perbicaraan kes saman fitnah oleh Mukhriz terhadap Tengku Sharifuddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu, Tun Dr Mahathir Mohamad merancang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak 2014 lagi.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam keterangan perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad, bersetuju dengan peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Dr Mahathir cuba menjatuhkan Najib sejak 2015 dan ia diketahui umum.

"Saya setuju (dengan cadangan peguam) dan rancangan itu bukan bermula pada 2015 tetapi lebih awal lagi iaitu pada 2014," katanya ketika disoal balas oleh Jahaberdeen yang mewakili Tengku Sarifuddin. 

Jahaberdeen: Usaha Tun Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib diketahui umum dan dilaporkan secara meluas dan tersebar melalui media perdana dan media sosial. Adakah kamu setuju?

Mukhriz: Ya. 

Apabila ditanya sama ada ada komplot antara Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata; "Saya tidak mahu menggunakan perkataan komplot tetapi mereka mempunyai tujuan yang sama,".

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, berkata beliau tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan kenyataan itu disiarkan The South China Morning Post, iaitu akhbar berbahasa Inggeris berpangkalan di Hong Kong pada 22 April tahun lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah jawapan dalam temubual berkenaan yang mengaitkan bahawa bapanya mengkritik Najib adalah semata-mata untuk menjadikan beliau (Mukhriz) sebagai Perdana Menteri.

Pada 3 Mei tahun lalu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memfailkan saman terhadap Tengku Sarifuddin selepas mendakwa defendan ada mengeluarkan empat kenyataan fitnah yang diterbit dan disiarkan secara meluas di pelbagai media dan portal berita.

Pada 6 Januari lalu, mahkamah memutuskan dua daripada empat kenyataan fitnah bertarikh 15 dan 20 April 2016 tidak merujuk kepada bekas Menteri Besar Kedah itu. 

Mukhriz diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung hari ini.

998 dibaca
Berita Harian X